TAJUK:
Salasilah Masjid Jamek Kepala Gajah
DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz Harjin
Pensyarah CTU151
DISEDIAKAN OLEH:
Siti Asmah Bt Sakdin @ Saidin
No matrik : 2010675044
Kumpulan : ASD2Dn
PROGRAM:
Diploma Sains
TARIKH HANTAR:
28 FEBRUARI 2011
ISI KANDUNGAN
1. ABSTRAK
2. PENDAHULUAN
3. SEJARAH PENUBUHAN
4. PERANAN MASJID KEPADA PENDUDUK SETEMPAT
5. MASALAH YANG DIHADAPI
6. PENYELESAIAN KEPADA MASALAH YANG DIHADAPI
7. PENUTUP
8. LAMPIRAN
9. BIBLIOGRAFI
ABSTRAK
TAJUK: SALASILAH MASJID JAMEK KEPALA GAJAH
Masjid merupakan tempat beribadat yang khusus bagi umat Islam seluruh dunia. Masjid juga terkenal sebagai pusat untuk mengembangkan dakwaah Islam, pusat kebudayaan, pendidikan, perbincangan dan muamalat. Menurut bahasa, masjid bermaksud tempat bersujud.Manakala dari segi syar;i masjid merupakan tempat yang dipersiapkan untuk digunakan untuk solat lima waktu secara berjemaah oleh kaum muslimin. Umat Islam yang beribadat di rumah Allah SWT mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda lebih-lebih lagi mengerjakan solat secara berjemaah. Orang yang mengerjakan solat secara berjemaah mendapat ganjaran pahala sebanyak 27 kali ganda daripada orang yang mengerjakan solat secara bersendirian. Masjid yang pertama dibina ialah Masjid An-Nabawi yang terletak di Madinah. Masjid ini didirikan oleh Rasulullah SAW bersama para sahabat. Pada ketika itu, masjid digunakan sebagai tempat untuk berkumpul bersama para sahabat yang lain, tempat perbincangan, pusat pendidikan dan tempat untuk merancang strategi.
KONSEP:
- Masjid adalah syiar agama Islam.
- Suatu binaan yang dikhususkan kepada umat Islam sebagai tempat beribadat.
- Sebagai tempat majlis ilmu, akad nikah dan sebagainya.
- Nadi pembangunan masyarakat Islam duniawi dan ukhrawi.
PENDAHULUAN
Aku diberi lima hal yang tidak diberikan kepada seorang pun sebelumku: aku dimenangkan dengan perasaan takut yang menimpa musuhku dengan jarak sebulan perjalanan, bumi dijadikan bagiku sebagai mesjid dan suci, siapa pun dari umatku yang menjumpai waktu shalat maka shalatlah….”
(Hadis riwayat Al-Bukhari ayat 323)
Begitulah firman Allah SWT kepada umatnya agar mengerjakan solat lima waktu di mana jua kita berada. Solat lima waktu dapat membimbing kita menjadi umat yang bertaqwa dan mendorong ke arah melakukan kebaikan. Mendirikan solat di masjid menjadikan kita lebih yakin dan bersemangat justeru menjadikan kita lebih khusyuk dalam melakukan ibadat. Namun begitu tidak ramai yang rajin mengerjakan ibadat solat di masjid lebih-lebih lagi golongan remaja pada masa kini. Mereka lebih cenderung melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti melayari internet, melepak dan sebagainya.
Sepatutnya kita hendaklah menghayati hadis-hadis yang diriwayatkan agar kita dapat muhasabahkan diri kita lantas dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT. Masjid bukanlah tempat yang dibina semata-mata sebagai hiasan. Oleh itu, kita sebagai umat di muka bumi hendaklah mengambil inisiatif dan menggunakan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya. Mengimarahkan masjid dapat menjadikan kita lebih khusyuk dalam melakukan sesuatu.
Dari Anas bin Malik r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda: "Tidak berlaku (terjadi) hari qiamat sehingga umat ku bermegah-megah (dengan binaan) masjid".
H.R Abu Daud
Hadis di atas jelas mengatakan masjid bukan di bina semata-mata untuk dimegahkan tetapi diimarahkan. Keindahan sesuatu masjid bukan sekadar perhiasan malah harus digunakan dengan sebaik-baiknya. Kita dapat lihat sendiri banyak masjid di negara kita ini dibina dengan indah, cantik, bersih, cukup kemudahan-kemudahannya tetapi tidak ramai yang datang untuk mendirikan solat di masjid. Hal ini jelas mengatakan masjid hanya dibina semata-mata untuk dimegahkan kecantikannya bukan untuk digunakan untuk tujuan beribadat. Masyarakat sekarang tidak lagi peka akan hadis-hadis yang diriwayatkan malah sengaja tidak mengambil tahu hal-hal berkaitan masjid.
Oleh itu, masyarakat haruslah bertimbang rasa dan lebih peka dalam menaikkan lagi institusi sesebuah masjid. Bermegah-megah dengan kecantikan masjid tidak dapat memberikan sebarang keuntungan. Oleh itu, beribadatlah di masjid dan sentiasa menjaga kesucian masjid agar dapat dijadikan tempat beribadat yang selesa.
SEJARAH PENUBUHAN
Setiap kampung mempunyai tempat ibadat khusus yang dibina mengikut sejarah yang tersendiri begitu juga Masjid Jamek Kepala Gajah. Masjid ini diberi nama mengikut nama kampung tersebut iaitu Kampung Kepala Gajah. Sebanyak tiga buah masjid yang ditubuhkan di kawasan kampung ini namun kini hanya tinggal dua berikutan masalah yang tidak dapat dielakkan. Masjid pertama dibina pada tahun 50-an tetapi masjid tersebut musnah akibat ditimpa pokok besar maka penduduk kampung mengambil inisiatif untuk membina masjid yang kedua. Masjid yang kedua ini juga menghadapi beberapa masalah seperti tidak mempunyai kawasan meletak kenderaan dan ruang dalaman yang kecil. Masjid kedua ini terletak di tepi jalan menjadikan ia sukar dan amat berbahaya berikutan lalu lintas yang tidak terkawal.
Sejurus dengan itu, maka terbinalah masjid yang ketiga yang kekal sehingga ke hari ini. Masjid ini dibina pada tahun 2000 dan dibina daripada hasil nukilan dari Mergong. Masjid ini siap dibina sekitar tahun 2002 dan dirasmikan pada tahun 2004 oleh YDP Pulau Pinang iaitu YB Abdul Rahman Abbas. Pembinaan Masjid Jamek Kepala Gajah menelan belanja sebanyak RM 1.2 Juta dam keluasaan masjid ini boleh memuatkan kira-kira 800 orang. Hal ini dapat memudahkan orang ramai untuk bersama-sama melakukan solat jemaah lebih-lebih lagi pada musim perayaan.
Masjid yang ketiga ini terletak di kedudukan yang strategik kerana tapaknya yang luas dapat menampung untuk orang ramai meletak kenderaan masing-masing. Namun begitu, tapak perkuburan masih terdapat di masjid yang kedua menjadikan masjid yang ketiga ini mempunyai tapak lebihan yang luas untuk dijadikan tempat meletak kenderaan. Tambahan pula, pada tahun 2009 yang lalu, Masjid Jamek Kepala Gajah dilengkapi dengan van jenazah yang disumbang oleh Pusat Urus Zakat Pulau Pinang. Hal ini sedikit sebanyak membantu memudahkan lagi urusan pengebumian jenazah.
CIRI-CIRI SENI BINA MASJID
- KUBAH
Setiap masjid mempunyai seni binanya yang tersendiri. Kubah merupakan gerbang yang diletakkan di bahagian atas masjid sebagai bumbung. Kubah mempunyai bentuk sfera dan permukaannya melengkung ke dalam. Kubah kini diperbuat daripada aloi aluminium, keluli diperkuat sebagai rangka yang disalut dengan aluminium, polikarbonat dan keluli mengikut keperluan.
- MIMBAR
Mimbar merupakan tempat naiknya khatib untuk menyampaikan khutbah Jumaat, Aidil fitri dan Aidil adha. Mimbar sebagai tempat yang tinggi agar membolehkan imam melihat jemaah yang ramai. Mimbar juga terletak di tepi mihrab dan kedudukannya menghadap ke arah kiblat.
PERANAN
Setiap masjid mempunyai peranannya yang tersendiri. Peranan yang pertama ialah masjid dapat dijadikan sebagai pusat pendidikan. Pusat pendidikan di Masjid Jamek Kepala Gajah dapat dinaikkan dengan cara mengadakan kelas kafa. Kelas kafa ini dijalankan di sebelah petang iaitu selepas waktu persekolahan tamat iaitu bermula pada jam 2.30 pm hingga 5.30 pm. Kelas kafa ini dilakukan di masjid untuk menarik dan menanam azam anak muda sekarang supaya selalu ke masjid. Kelas kafa ini dihadiri oleh para pelajar sekolah rendah antara umur tujuh hingga dua belas tahun.Mereka juga dibekalkan dengan buku pembelajaran khas yang menyeliputi seluruh skop akidah, ibadah, akhlak, tauhid dan fekah. Sumber pembelajaran ini sedikit sebanyak dapat menambahkan lagi ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah dalam diri anak muda sekarang.Selain itu, kelas kafa ini dikawal sepenuhnya oleh ustaz dan ustazah yang mengajar kelas kafa tersebut.
Selain itu, masjid juga berperanan sebagai pusat untuk mempelajari ilmu al-Quran dan tafsiran. Kelas ini biasanya dilakukan pada setiap hujung minggu kerana dapat memberi kesempatan untuk orang yang bekerja agar dapat bersama-sama menghadiri kelas tersebut pada waktu cuti mereka. Kelas tersebut diketuai oleh ustaz yang lebih berpengalaman yang diijemput khas untuk mengetuai kelas tersebut. Hal ini dapat meningkatkan lagi mutu bacaan para pelajar yang ingin mempelajari ilmu al-Quran dengan lebih mendalam. Kelas tresebut boleh dihadiri oleh semua peringkat umur tidak kira sama ada tua atau muda bak kata pepatah Melayu di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kita hendaklah menuntut ilmu tidak kira susah atau senang asalkan ada usaha untuk mencarinya.
Di samping itu,masjid juga berperanan sebagai pusat untuk mengukuhkan iman dan taqwa. Hal ini dapat ditunjukkan menerusi ceramah yang sering diadakan di Masjid Jamek Kepala Gajah. Ceramah ini biasanya diadakan selepas waktu Isyak dan dihadiri oleh penduduk setempat. Ceramah agama seperti ini sedikit sebanyak dapat memantapkan lagi iman dan taqwa para pendengar. Selain itu, menerusi ceramah ini juga para pendengar dapat mengentalkan iman serta dapat memuhasabahkan diri masing-masing agar lebih yakin dengan agama Islam. Para pendengar bukan sahaja setakat mendengar malah dapat mengajukan pertanyaan kepada penceramah sekiranya terdapat sebarang kekeliruan.
Tambahan pula, Masjid Jamek Kepala Gajah telah mengambil inisiatif dengan meletakkan zon WiFi coverage di kawasan masjid. Hal ini dapat menjadikan masjid sebagai tempat untuk berkumpul serta tempat untuk mencari maklumat yang berfaedah di samping dapat mengajak orang ramai untuk datang ke masjid. Zon WiFi ini telah bermula pada 15 Jun 2010 yang lepas. Selain itu, kursus jenazah turut diadakan pada 20 Jun 2010. Aktiviti seperti ini dapat melengkapkan diri orang ramai supaya lebih mengetahui cara menguruskan jenazah dengan lebih berkesan. Di samping itu, pada 30Jun 2010 yang lepas telah diadakan satu penerangan tentang cara perubatan Islam untuk barah yang disampaikan oleh Ustaz Ismail Shafie. Ceramah ini telah diadakan selepas solat Maghrib pada hari tersebut.
MASALAH YANG DIHADAPI
Seringkali kita diwar-warkan dengan masalah yang sering berlaku di masjid dan surau tidak terkecuali juga masalah ini turut dihadapi oleh Masjid Jamek Kepala Gajah. Masalah yang dihadapi oleh masjid ini hanyalah masalah kecil. Masalah yang sering berlaku ialah masalah tandas yang kurang bersih berikutan kurangnya rasa tanggungjawab pengguna yang mengabaikan kebersihan tandas di masjid ini sewenang-wenangnya. Menurut pekerja yang bertugas di masjid ini, masalah yang selalu dihadapi ialah membuang lampin pakai buang di tempat yang tidak sepatutnya. Hal ini dapat mencacatkan pandangan terhadap masjid ini sekaligus menimbulkan bau yang kurang enak.
Selain itu, masalah yang sering berlaku di Masjid Jamek Kepala Gajah ialah masalah kekurangan dana bagi menampung keperluan masjid. Masalah ini juga sering berlaku di masjid-masjid lain di negara ini lebih-lebih lagi di ibu kota. Dana yang diperuntukkan kadang kala tidak mencukupi untuk pihak masjid membayar penceramah luar yang datang untuk memberi ceramah kepada penduduk kampung. Hal ini sedikit sebanyak membantutkan aktiviti yang ingin dijalankan oleh Masjid Jamek Kepala Gajah.
Di samping itu, terdapat juga segelintir masyarakat di kawasan ini salah guna kesalahan yang dilakukan. Kecurian ini sering berlaku kerana kurangnya iman masyarakat tabung yang disediakan di masjid. Masalah yang timbul ialah kecurian wang masjid. Hal ini amat memalukan kerana masih ada masyarakat pada masa kini yang berpelajaran tetapi tidak berfikir akan sekarang yang selalu mengambil jalan pintas dengan mencuri untuk mendapatkan kesenangan. Walaupun jumlah yang diambil tidak seberapa namun ia tetap salah tambahan pula mencuri di dalam rumah Allah.
PENYELESAIAN KEPADA MASALAH YANG DIHADAPI
Masjid sememangnya tidak mempunyai banyak masalah. Masalah yang selalu dihadapi ialah masalah tandas dan ianya berlaku di kebanyakan masjid. Hal ini berlaku kerana kurangnya sikap tanggungjawab orang ramai dalam memelihara kebersihan tandas yang digunakan. Mereka sepatutnya bersyukur atas kemudahan yang telah disediakan di setiap masjid.
Masalah ini dapat ditangani dengan cara menampal poster tentang kebersihan tandas. Hal ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran terhadap pengguna tandas. Poster tersebut hendaklah ditampal di tempat yang lapang dan mudah dibaca oleh orang ramai bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kebersihan tandas.
Selain itu, masalah ini juga dapat ditangani dengan cara mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan tandas dan kawasan sekeliling masjid. Hal ini dapat mengumpulkan orang ramai agar bersama-sama membersihkan tempat ibadat di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.
Tambahan pula, masalah seperti kekurangan dana tersebut dapat diatasi dengan cara berjimat cermat. Ceramah juga dapat diberikan oleh imam-imam masjid tanpa perlu menjemput penceramah luar. Hal ini dapat menjimatkan wang masjid sekaligus dapat digunakan untuk membeli keperluan-keperluan masjid yang lain. Imam-imam juga semestinya mempunyai pengalaman yang lebih mendalam tentang hal-hal agama. Orang ramai boleh mengajukan sebarang pertanyaan sekiranya terdapat sebarang kemusykilan tentang hal agama.
Di samping itu, penduduk juga dapat menyumbangkan wang bagi menampung dana masjid. Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan dana yang perlu ditanggungi oleh masjid.
PENUTUP
Kesimpulannya, setiap masjid mempunyai sejarahnya yang tersendiri sama ada dari sudut seni bina, organisasi dan sebagainya. Namun begitu peranan masjid adalah sama iaitu dapat dijadikan pusat pendidikan, muamalat, tempat berkumpul, berbincang, tempat menyebarkann dakwah dan sebagainya. Kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa mengingati Allah SWT walau di mana jua kita berada. Masjid memudahkan kita untuk lebih gigih mengerjakan ibadat yang dipertanggungjawabkan kepada kita sebagai penghuni di muka bumi ini.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga dan memelihara masjid agar tidak diancam oleh anasir-anasir jahat yang dilakukan oleh segelintir anak-anak muda pada masa kini. Anak-anak muda kini mudah terpengaruh berikutan kekuatan iman yang tipis dan lemahnya pegangan agama. Hal ini menjadikan anak-anak muda sekarang mudah untuk memberontak apabila nasihat diajukan kepada diri mereka.
Hal ini dapat dilihat menerusi aksi anak-anak muda sekarang yang sanggup menderhaka kepada ibu bapa mereka, melakukan maksiat, dan sebagainya. Perkara yang paling yang pernah berlaku ialah terdapat segelintir anak muda yang sanggup mencuri al-Quran di masjid. Hal ini jelas menunjukkan betapa lemahnya iman mereka. Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini dikejutkan dengan simbahan cat pada surau. Hal ini juga membuktikan betapa daifnya kita sebagai insan di muka bumi ini melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang akan baik dan buruknya.
Pembinaan masjid di sesuatu kawasan bukanlah sekadar hiasan semata-mata. Kita hendaklah menggunakannya bukan sekadar untuk beribadat dengan mengerjakan solat lima waktu sehari semalam di masjid, malah banyak aktiviti berfaedah yang boleh kita jalankan di kawasan masjid seperti membaca al-Quran. Hal ini dapat meningkatkan lagi tahap keimanan kita serta menjadikan kita ummah yang cemerlang.
Oleh itu, kita hendaklah memelihara masjid agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini daripada terus berlaku di kawasan masjid. Pemantauan juga harus dijalankan dari semasa ke semasa agar perkara seperti yang disebut tidak berulang bak kata pepatah Melayu jangan biarkan pisang berbuah buat kali kedua. Justeru, sama-samalah kita menjaga kesucian masjid daripada dicemari oleh anasir-anasir negatif.
LAMPIRAN
Masjid jamek kepala gajah
BIBLIOGRAFI
Responden: Sakdin@Saidin Bin Karim.(Bekas Pengerusi Qaryah Kepala Gajah)
Kamus dewan: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.